Thursday, December 31, 2009

Dakwah: Indah Ukhuwwah Dalam Tarbiah

sumber: blog puteraazhari




Ukhuwwah itu indah, dan luas pengertiannya.

Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi-tinggi nilai ukhuwwah adalah pada seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri.

Kita mahu berukhuwwah dengan orang yang tidak minat berukhuwwah, kita tidak boleh paksa dia. Apa yang kita boleh buat ialah terus bersikap terbuka. Kalau ada halangan, biarlah halangan itu bukan di pihak kita.

Ukhuwwah ini akan datang sendiri, apabila manusia kembali kepada sifatnya sebagai seorang hamba, suburkan jiwa hamba.

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara keduannya yang bersaudara. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, moga kamu di kalangan orang yang memperolehi rahmat”
al-Hujarat (49:10)

Ukhuwwah yang berteraskan ayat: sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain

Sedangkan taasub berkumpulan itu jauh berbeza. Ia adalah suatu kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika dia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut.

Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.

Kita kena faham tujuan kita menjadi ahli kumpulan adalah untuk bergerak di dalam satu kekuatan besar, agar lebih tersusun dan bukannya untuk berukhuwwah khusus dengan ahli kumpulan semata-mata.

Setiap yang beriman adalah bersaudara, maka selagi kita beriman dengan Allah Taala, maka kita adalah bersaudara dalam erti kata tidak mengenal darjat, jawatan, kumpulan, hirarki atau apa-apa.

Apabila kita bersama dalam satu kumpulan, maka selalunya kemesraan itu secara automatiknya akan jadi lebih daripada yang lain kerana kesamaan fikrah, hati dan melakukan sebarang aktiviti tanpa ada pergeseran. Lantas hati mudah cenderung buat baik sesamanya. Namun, ini tidak bermaksud, hubungan yang mesra juga tidak boleh dijalinkan dengan manusia lain.

JANGAN SEMPITKAN UKHUWWAH

Ukhuwwah sesama muslim itu amat luas. Pengalaman di negara orang, kita malah dihargai oleh bangsa lain, lebih dari teman-teman dari negara sendiri. Selama penulis berkelanadi bumi barakah ini, tarbiah memainkan peranan cukup penting. Tarbiah pula, jangan kita sempitkan pengertian sebenar.

Kampus kita membuktikan kebenaran penulis ini. Hanya pelajar yang pro-Islamik sahaja yang menjadi ‘pisang goreng panas’ dan masak dalam hal ehwal agama. Hingga ada yang menyertai lebih dua usrah dari kumpulan berlainan dalam satu-satu masa.

Tetapi bagaimana penumpuan terhadap pelajar yang tidak mempunyai asas Islam? Golongan ini tersisih dari permainan ‘rebutan’ kumpulan-kumpulan di kampus.

Bagaimana dengan dakwah. Bila sibuk mencari kader-kader baru untuk jemaah, terlupa pula mereka untuk melakukan dakwah umum terhadap orang Islam yang tidak minat dengan Islam. Adakah jamaah hanya memikirkan tentang pengkaderan ahli dan soal menyelamatkan diri sendiri bila berada dalam jemaah?

Tidak perlu menuding jari kepada kumpulan lain, cukup soalkan diri kita dalam kumpulan mana sekalipun yang kita berada:

“Apa yang aku sudah lakukan demi kepentingan Islam?”

Sikap berbangga dengan kebenaran yang dimiliki dan gembira terhadap kelemahan orang lain menjadi punca kepada kelemahan dakwah pada hari ini

Sebuah gerakan dakwah sebenarnya menghina dan menganggap bodoh ahlinya dengan menyekat mereka dari berdialog dan meraikan keluasan input dengan gerakan lain.

Jika gerakan dakwah gagal melahirkan da’ie yang berani mendedahkan diri kepada cabaran pemikiran, maka lupakan sahaja agenda untuk memenangkan Islam. Cukup sekadar meletakkan sasaran menjadikan jemaah masing-masing sebagai alat menjaga diri dari terseleweng, dan bukannya sebuah force untuk memenangkan Islam.

Bak kata lirik lagu Wafiq Azizah, Wahdana. Alangkah indahnya hidup dalam satu kesatuan tanpa melihat siapa kita, dan kedudukan kita.





ISLAM, UKHUWWAH DAN TARBIAH

Soal tarbiah merupakan satu pencarian yang kritikal bagi remaja khususnya mahasiswa pada era arus perdana sekarang. Lebih-lebih lagi bila ianya diisukan dengan persoalan jemaah mana yang perlu diberi intima' (pengabunggan diri).

Tarbiah kami lebih mantap, sufi lagi haraki dan mendekati sunnah nabi s.a.w adalah antara dakwaan yang acap kali diulangsiar. Lebih mencuit hati ada yang dengan kenyataan bahawa dakwah mereka lebih ikhwan atau seakan-akan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.

Mengapa sandaran sebegini dijadikan hujah dalam menggalas bebanan khalifah di bumi Allah Taala? Sedang strategi, wasilah dan pendekatan untuk mencuit hati mad'u itu sesuatu yang fleksibel juga bergantung kepada waqie' lokaliti setempat.

Apabila menyentuh persoalan tarbiah ramai yang akan merujuk pandang kepada model Ikhwan Muslimin. Alasannya, mereka terlebih dahulu mengenal asam garam dalam dunia dakwah Islamiah. Hinggakan ramai yang melupakan jalan yang pernah dirintis ulama', pada murabbi, dan kaum muslimin sebelum wujudnya Ikhwan Muslimin di Mesir.

Bagi penulis Ikhwan adalah satu model bukan satu-satunya model yang ada.

Cuba kita teliti pentarbiahan di kalangan ahli tarikat dalam memahmudahkan akhlak, sejarah turut menukilakan bahawa kelompok ini banyak berjasa dalam penyebaran Islam di Eropah satu ketika dahulu. Ianya satu juzuk daripada tarbiah dan tazkiah. Jangan dilupakan didikan para ulama' pondok satu ketika dahulu dalam membentuk murid yang faham, beramal, dan berjasa kepada agama.

Para ulama di zaman kegemilangan ilmu Islam melalui tarbiah dan akhirnya mentarbiah.Mereka punyai method tersendiri dalam mendidik masyarakat menghayati agama. Bagaimana cekalnya mereka melakarkan kecemerlangan dalam sejarah kebangkitan Islam dengan penyuburan ilmu dan amal perlu dicungkil kembali.

Sejarah dulu sebelum kejatuhan khilafah banyak bergantung kepada kesedaran masyarakat daripada majlis-majlis ilmu bersama ulama'. Dengan tersebarnya kefahaman ilmu, kita dapat membaca sendiri sejarah kekuatan ummah yang berjaya dibangkitkan dalam jihad fisbilillah sama ada menentang musuh atau peluasan empayar Islam.

Dakwah tidak hanya bertumpu kepada sekelompok manusia yang sudah dicampak oleh Allah Taala ke dalam hatinya minat kepada Islam. Anda hanya akan syok sendiri berprogram dengan mereka sebegini.

Dalam konteks Malaysia sahaja kita dihadapkan dengan latar mad’u yang pelbagai. Daripada pendokong agama sehinggalah musuhnya, daripada mukmin yang sudah indah Iman dan amalnya sehinggalah muslim yang fajir lagi lemas dalam lautan maksiat, daripada yang memegang kad pengenalan Islam hinggalah yang ingin menukarnya kepada status yang lain, bahkan dakwah kita didepani dengan tanggungjawab memperkenalkan agama kepada hampir separuh penduduk yang belum mengenal syahadah.

Dakwah dan tarbiah sewajibnya dibawa kepada segenap lapis masyarakat yang kenal huruf untuk dibaca sehinggalah yang tidak mampu mengeja.

Kita menzalimi para petani dan nelayan sekiranya dakwah hanya ditumpukan kepada golongan profesional, dan kita menzalimi mereka yang jahil sekiranya hanya berlegar seruan Islam di kalangan mereka yang bijak pandai. Bahkan kita menzalami mereka yang fajir sekiranya hanya seronok bersama mereka yang sudah baik akhlak di ruang legar masjid dan halaqah usrah.

Kalau kita fahami dakwah itu penting bergerak bersama keterikatan ukhuwwah tanpa perlu ta’sub pada mana-mana gerakan dan kumpulan, kita tidak akan tinggalkan sunnah hidup berjuang.

Moga kitalah antara mereka yang mengecapi indahnya ukhuwwah dalam dakwah.

ameen.



celoteh ak:

indahnya ukwah andai ia dibina atas dasar keikhlasan tanpa apa2 kepentingan....
alhamdulillah Allah menemukanku dgn insan2 begini.Moga ukwah yang dibina ada nilainya diakhirat kelak...sayang kamu semua (~_~)
Ya Allah kuatkan ukwah kami dalam redha& kasihsayang-Mu




Aurat...????

Kenapa wanita wajib menutup aurat???
Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat ke-59 (bermaksud):

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Kita boleh mengambil pengajaran didalam ayat yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad, iaitu hendaklah perempuan yang mengaku dan mengucapkan syahadah kepada Allah menutup tubuh badannya. Sesungguhnya manusia tidak mengetahui apa yang terbaik bagi dirinya, disebabkan itulah Allah menyuruh perempuan2 yang beriman supaya menutup aurat. Ini bagi menjaga maruah dan harga diri.

Contoh yang boleh diambil pada hari ini, seperti berlakunya zina, terjadinya rogol dan sebagainya. Ianya berpunca daripada tidak mendengar apa yang di suruh oleh Islam. Sebenarnya Islam mengangkat darjat perempuan2 yang menjaga segala tingkah laku, tutur kata serta harga diri. Dalam surah Al-Baqarah : 82 Allah berfirman :

"dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya".



10 MUWASAFAT TARBIYYAH

1. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
• Dakwah berat tanggungjawab dan tugas – perlukan badan yang sihat dan kuat.
• Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.
• Pesanan al-Banna:
• Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.

2. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
• Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
• Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.

3.Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)
• Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
• Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
• Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
• Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
• Walaupun kaya, perlu bekerja.
• Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.
• Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
• Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
• Menjauhi riba dalam semua lapangan.
• Menyimpan untuk waktu kesempitan.
• Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
• Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

5. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
• Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
• Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
• Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
• Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
• Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
• Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
• Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
• Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
• Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
• Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
• Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
• ..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.

9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
• Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
• Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
• Dai umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
• Dai adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.
• Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
• Dai merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.
Wallahu al Musta’an.

Tuesday, December 22, 2009

Hisap Shisha Ibarat Api Masa Kecil Jadi Kawan, Besar Jadi Lawan


(Oleh Melati Mohd Ariff)


KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) : Memerhatikan gelagat anak-anak muda menghabiskan waktu malam dengan bersantai di kafe atau restoran adalah seperti menyaksikan satu pementasan drama tetapi itulah realitinya.

Drama kehidupan muda-mudi di bandar besar. Lelaki, perempuan bergelak ketawa dan mempamerkan gaya hidup bebas di kota metropolitan.

Asap berkepul, mereka menyedut perlahan-lahan objek yang diletakkan di sebelah tempat duduk. Yang perempuannya sedikit pun tidak menampakkan rasa segan atau malu, asap yang disedut dihembus, berkepul-kepul keluar dari mulut.

Antara sedar atau tidak, ada satu trend atau kecenderungan yang semakin menular dalam kehidupan kita hari ini, yang mungkin jika tidak dibendung akan menjadi satu budaya perosak iaitu menghisap shisha.

Shisha atau juga dikenali dengan nama "hookah" merupakan sejenis peralatan paip air yang menegak, lazimnya digunakan untuk menghisap tembakau yang berperisa.

Bayaran yang biasa dikenakan ialah antara RM10 hingga RM15 untuk satu sesi shisha.

ASAL USUL

Menghisap shisha yang kian menjadi kegilaan khususnya muda-mudi Melayu, telah diamalkan di Timur Tengah ratusan tahun lamanya.

Sebelum kemunculan tembakau, bahan yang sering digunakan di dalam shisha ialah candu dan hashish.

Shisha dipercayai mula membanjiri negara ini dengan kedatangan pelancong-pelancong dari Timur Tengah khususnya pada tahun-tahun 90-an.

Sesetengah pihak mungkin tertanya-tanya mengapa tiada batasan atau larangan untuk shisha sedangkan kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mengadakan pelbagai kempen anti-merokok dan kempen amalkan gaya hidup sihat.

Aneh bukan? Atas alasan apa menghisap shisha dibiarkan sedangkan ia masih menggunakan tembakau!

BAHAYA UNTUK PEROKOK

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini, terdapat kira-kira 1.3 bilion perokok di seluruh dunia dan sekitar lima juta mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan menghisap rokok.

WHO memberi amaran jika trend tersebut tidak berubah, 10 juta orang setahun akan mati akibat penyakit berkaitan menghisap rokok menjelang 2020.

Kebimbangan WHO itu juga membuatkan badan dunia itu mengeluarkan slogan untuk sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia tahun ini yang memberi amaran kepada perokok bahawa tembakau adalah "berbahaya dan boleh membawa maut dalam apa jua bentuk".

Satu laporan dari London baru-baru ini menyebut tentang pengharaman menghisap rokok di khalayak ramai yang akan dikuatkuasakan di England Jun 2007.

Langkah tegas ini sudah tentunya turut memberi kesan kepada penghisap shisha.

MUDAH TERPENGARUH

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman tidak terperanjat dengan budaya menghisap shisha yang semakin menular di kalangan golongan muda negara ini khususnya anak Melayu.

"Orang Melayu terutamanya mudah dipengaruhi dengan satu benda kelainan yang pada pendapat mereka ia hanya sekadar berseronok tanpa mengetahui latar belakang sejarah sesuatu budaya tersebut dan juga risiko ke atas diri sendiri, dari segi kesihatan terutamanya," jelas beliau.

Tradisi menghisap shisha ini, tambahnya, sesuatu yang barangkali boleh diterima di kalangan masyarakat tertentu seperti di Timur Tengah dan di Afrika.

"Ada di antara mereka berpendapat bahawa apabila mereka membakar tembakau atau buah-buahan atau bahan-bahan lain yang diadun maka air yang digunakan akan menjadi satu penapis yang boleh menyelamatkan mereka daripada risiko kesihatan akibat pengambilan tembakau."

"Perbuatan ini sebenarnya didorong oleh nafsu dan mereka sekadar ingin merasa selamat walhal mereka masih menanggung risiko," tambah Dr Maamor.

Menghisap shisha, katanya, mempunyai banyak persamaan dengan perbuatan menghisap rokok dan dalam masa yang sama, ada juga penggemar shisha perokok tegar.

Di Malaysia, tambahnya, menghisap shisha ini lebih mirip kepada pengambilan dadah marijuana dengan menggunakan alat yang dipanggil "dapur".

"Ini sebenarnya memberikan satu bentuk kebebasan kepada kumpulan penagih untuk berlindung kononnya sekadar mengambil shisha yang menggunakan buah-buahan dan sebagainya."

"Persoalan yang perlu dirungkaikan ialah, sesuaikah menghisap shisha ini dengan sosio-budaya Malaysia?"
soal Dr Maamor.

GANGGU KETENTERAMAN

Perbuatan menghisap shisha yang biasanya dibuat secara berkumpulan juga boleh mengganggu ketenteraman dan keselesaan orang ramai di satu-satu premis yang tidak bertepatan dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Ini kerana, katanya, terdapat golongan remaja yang bersikap biadap dan kurang sopan apabila mereka ditegur di tempat-tempat awam seperti restoran dan premis makanan yang lain.

"PPIM memandang serius penularan aktiviti negatif ini walaupun atas apa alasan dan pihak bertanggungjawab perlu mengkaji secara profesional perkara ini sebelum ia merebak dan mempengaruhi serta merosakkan budaya orang-orang Islam," tegas Dr Maamor.

Timbalan Setiausaha Agung, ERA Consumer Malaysia, Ismail Abd Aziz berkata beliau bimbang shisha akan membawa kesan sosial yang negatif di kalangan remaja dan belia tempatan.

Beliau sendiri membuat beberapa tinjauan ke gerai-gerai makanan termasuk di sekitar Petaling Jaya di sebelah malam dan lewat malam untuk melihat sendiri trend menghisap shisha ini.

"Saya dapati golongan remaja termasuk anak-anak gadis tidak segan-silu menghisap shisha di khalayak ramai, baik di gerai-gerai makan tepi jalan dan di kawasan-kawasan perumahan kos rendah sehinggalah ke Bintang Walk Kuala Lumpur."

"Mereka seolah-olah bangga dengan cara menghisap begitu dan merasakan kepuasan apabila ramai orang memerhatikan mereka sedangkan mereka belum tahu risiko dari segi kesihatan yang boleh membawa kesan jangka panjang,"
jelasnya.

Ismail turut menyuarakan kebimbangannya akan berlaku penyalahgunaan menghisap shisha dengan mencampurkan ganja yang boleh mengkhayalkan.

Menurutnya, perkara itu mungkin berlaku tetapi tidak secara terbuka, di kalangan rakan karib atau pelanggan tetap tuan punya gerai atau restoran yang menawarkan shisha.

LUMPUH HASRAT KERAJAAN

Kegilaan menghisap shisha boleh melumpuhkan hasrat kerajaan untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada pengaruh dadah.

Kekhuatiran ini disuarakan Dr Maamor dalam mengulas lebih lanjut tentang kecenderungan anak muda menghisap shisha yang semakin menjadi-jadi ini.

Beliau mengimbau kesan penagihan ganja dan marijuana di mana menjadi kebiasaan untuk penagih menggunakan "dapur" bagi menghisap dadah tersebut apabila dadah-dadah tersebut mula diperkenalkan ke alam Melayu.

"Kita dapati hampir semua penagih tersebut kemudiannya berlanjutan kepada pengambilan apa yang ditakrifkan sebagai 'designer drugs' seperti syabu, ice dan lain-lain."

"Kerajaan telah menetapkan dadah sebagai musuh utama negara. Justeru, kita tidak sepatutnya membiarkan budaya negatif ini timbul semula melalui inovasi shisha. Ia mungkin inovasi baru tetapi tetap sama (penggunaan tembakau),"
jelasnya.

Beliau berpendapat kempen daripada pihak Pemadam, polis dan sebagainya seolah-olah ditipu melalui penggunaan alat shisha yang kononnya tidak memberi apa-apa risiko negatif.

"Ini juga sangat bertentangan dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat budiman (towering personality) kerana budaya ini juga mengundang kepada perbuatan membuang masa dan boleh merebakkan penyakit kerana perkongsian alat yang sama," tambah Dr Maamor.

RISIKO PENYAKIT

Perbuatan menghisap asap boleh mendatangkan risiko penyakit berkaitan sistem pernafasan seperti bronkitis yang kronik, emphysema (bronchiaectasis) dan kanser paru-paru.

Menurut Dr Maamor, keadaan itu berlaku kerana peningkatan kandungan bahan berisiko seperti nikotin dan tar dalam saluran pernafasan.

"Dalam masa yang sama ia merendahkan aktiviti sel-sel khas yang akan menurunkan daya tahan badan serta mendedahkan seseorang itu kepada risiko mendapat jangkitan kuman sekunder."

"Andaian yang menyatakan bahawa apabila kita menyedut asap yang melalui air boleh mengurangkan risiko di atas adalah sesuatu yang indah khabar dari rupa. Risikonya tetap ada sebab masih ada asap yang disedut. Seperti juga rokok yang ada filter, risikonya masih ada"
jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan tentang risiko tinggi yang terpaksa ditanggung penghisap pasif.

"Kanak-kanak yang membesar dan ibu-ibu yang mengandung yang mungkin berada di premis tersebut turut menanggung risiko. Malah mereka yang tidak berada di premis yang sama juga boleh terdedah kepada bahaya kerana asap yang dikeluarkan tidak musnah dan ia mencemar alam sekitar," tambah Dr Maamor.

Beliau turut memberitahu terdapat kajian bahaya menghisap shisha ke atas sistem saraf dan juga tahap kesuburan seseorang.

"Risiko kesihatan juga meningkat apabila peralatan ini dikongsi kerana ia boleh menyebabkan merebaknya penyakit bawaan udara."

"Selain risiko kesihatan sudah tentulah ada risiko-risiko sosial, ekonomi, budaya dan pengaruh politik yang boleh menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan celaru. Maksud saya ada orang yang berkata ia halal, ada kata haram atau makruh,"
jelasnya.

LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL

Dr Maamor dan Ismail mahu kerajaan mengambil langkah memantau penularan budaya menghisap shisha ini sebelum ia merebak dan tidak dapat dikawal.

Dengan mengibaratkan shisha sebagai "api yang semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan", Dr Maamor berkata budaya negatif itu perlu dibendung semasa ia masih di peringkat awal.

"Jika tidak, ia akan menjadi sesuatu yang sangat sukar dan mungkin menelan belanja jutaan ringgit untuk diatasi."

"Harapan kita supaya kerajaan menyedari kesan negatif akibat perbuatan menghisap shisha ini dan mengambil satu polisi yang jelas supaya ia bersesuaian dengan polisi-polisi lain yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini,"
kata beliau.

Ismail pula menyarankan Kementerian Kesihatan supaya memantau kandungan shisha dan segera membuat kajian.

"Pihak polis juga perlu memantau gerai atau premis yang menawarkan shisha ini dan memeriksa bekasnya jika perlu untuk memastikan tiada kandungan ganja."

"Khidmat jualan shisha juga perlu dilesenkan seperti jualan rokok dan pihak kastam juga perlu memantau jualan tembakau shisha ini dan mengesahkan sumber bekalan,"
kata Ismail.


Dari blog klinik umi

Friday, December 18, 2009

Hati

Sudahkah kita berselawat kepada Rasullah s.a.w pada hari ini !! Nasihat untuk diri yang sentiasa terlupa….jom sama-sama kita berselawat kepada baginda(3x) tanda kecintaan kita padabaginda…..:-


oleh:Amine

Pada kali ini ak ingin berbicara tentang….’Hati’ ….sebagaimana, kita tahu ,Hati ibarat raja dlm diri kita. Boleh dikatakan juga ia sebagai alat control, sekaligus pemegang watak komando dalam diri kita…..

Hatilah yang bertindak mengawal anggota kita yang lain sekiranya ia baik maka baiklah juga tingkahlaku kita begitulah sebaliknya..Berkenaan hati ini ada tiga peringkat semuanya : hati yang sahih(Qalbun Shahih), hati yang sakit (Qalbun Maridh)& last sekali hati yang mati (Qalbun Mayyit).....

1.Hati yg sihat (Qalbun shahih)

Iaitu hati yang sihat dan bersih .Hati yang suci dari setiap nafsu yang menentang perintah dan larangan Allah & juga dari setiap peyimpangan.Ia boleh diumpamakan seperti air jernih di dalam gelas kaca.Apapun kita masukkan dalamnya tetap kita dapat melihat bentuknya…

contohnya…bila kita masukkan paku ke dlmnya kita dapat lihat bentuk paku di dalamnya….maksudnya: walaupun dosa itu kecil sekalipun hati kita tetap memprotes untuk tidak melakukannya,misalnya buang sampah merata-rata.

2.Hati yang sakit(Qalbun maridh)

Iaitu hati yang kadang-kadang berpenyakit & kadang2 pula hidup secara normal bergantung kepada ketahanan hatinya.Biasanya hati yang semacam ini mempunyai 2 dorongan samaada dorongan yang mengajak kita menuju Allah ,Rasul2, kenikmatan akhirat @ pun kenikmatan sementara.Pendek kata,hati yang sakit ini boleh jadi ia dekat dengan jalan keselamatan @pun mungkin juga boleh membawa kita ke jalan kehancuran &kerosakan.Ia boleh diumpamakan ibarat air teh dalam gelas kaca.Dimana, apabila kita masukkan paku ke dalamnya ,kita masih dapat melihat paku tersebut walaupun samar-samar.

3.Hati yang mati(Qalbun Mayyit)

Iaitu hati yang mati yang tidak mengenali mengenali Allah Ia tidak mempedulikan apakah Allah redha ataupun murka terhadap apa yang dikerjakannya.,hawa nafsunya lebih disanjung melebihi rasa mahabbah kepada Allah .Pendek kata.,ia menjadikan hawa nafsunya sebagai pembimbing sehingga ia buta untuk menilai kebenaran..Keadaan ini boleh diumpamakan seperti air kopi di dalam gelas kaca.Apapun kita masukkan ke dalamnya tidak mampu kita lihat bentuknya.


Firman Allah s.w.t:

“Demi matahari dan cahayanya di pagi hari,dan demi bulan apabila mengiringi,dan malam apabila menutupi,dan langit serta pembinaanya,dan bumi serta hamparannya,dan jiwa serta penciptaannya(yang sempurna),maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikannya dan rugilah orang yang megotorinya”

(Asy-Syams:1-10)

Oleh itu ,amatlah penting bagi kita untuk memberi perhatian untuk mensucikan hati kita .Moga2 hati kita mampu menjadi hati yang sihat yang mana mampu menilai mana yang hak(kebenaran ) @pun kebatilan ….InsyaAllah



Friday, December 11, 2009

~Ujian buat Daie'~


Dr Ust Zuridan Mohd daud

Berat rasanya bebanan apabila kemampuan untuk mendidik dan mentarbiah ahli keluarga terdekat tidak seperti kekuatan mentarbiah dan melagang dakwah di tengah masyarakat. Seringkali berlaku para Daie dipandang rendah akibat ketidakupayaannya memberikan contoh tauladan melaksanakan syariat Islam dalam keluarganya akibat dari ketidakmampuan mentarbiah usrahnya sendiri. meskipun ia menjadi Naqib memandu anak-anak usrahnya tetapi usrah hakikinya terabai dari tarbiahnya. Soal solat berjamaah, solat tepat pada waktunya, kerapian menutup aurat dan soal perjuangan selalunya tidak gugup bila diajukan kepada khalayak masyarakat. Tetapi apabila berdepan dengan ahli keluarga sendiri, anak-anak, adik beradik dan anak-anak-anak saudara ianya bagaikan ada batu besar yang menghalang hingga mereka terbiar dari panduan dan didikan tarbiah. Sedangkan Allah Taala telah menetapkan bahawa tertib dakwah adalah bermula di rumah dan bukannya bermula di luar.

Firman Allah Taala:

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَ أَهْلِيكُمْ ناراً
Maksud: "Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka!
Surah Al-Tahrim ayat 6.

Menjadi satu ujian besar apabila Daie berdepan dengan kerenah anak-anak yang terabai ibadah, meringankan aurat dan melakukan maksiat. Ia bukan sahaja menjadi bebanan malah menjadi tohmahan kepada seseorang Daie. Mana mungkin kewibawaan dan keunggulan berdepan dengan ummah tidak mampu mendorongnya memandu ahli keluarganya? Itulah soalan yang mungkin diajukan oleh masyarakat. Justeru para Daie tidak boleh memandang enteng soal keiltizaman ahli keluarga dan anak-anaknya terhadap pemeliharaan syariat. Ahli keluarga mesti diasuh menepati waktu solat. Anak-anak lelaki mesti dididik dengan solat berjamaah. Anak-anak gadis pula mesti diasuh memelihara aurat dengan sebaiknya dan bukannya seperti orang awam yang bertudung litup tetapi mengikut rentak fesyen moden yang menyerlahkan kecantikan dan bertabarruj. Anak-anak tidak seharusnya dibiar menjadi penggila televisyen dan hiburan-hiburan yang melalaikan. Amat malang jika kedapatan Daie yang sibuk berusrah tetapi dalam masanya yang sama anakl-anaknya menonton rancangan-rancangan lagho di kaca televisyen di rumahnya. Jikalau ini semua berlaku maka ia bukan sahaja menjadi pencemar nama seseorang Daie tetapi ia memberikan satu tasawwur kabur tentang Islam kepada mereka yang tidak memahami Islam.

Daie tidak seharusnya berbangga dengan usaha-usaha dakwah luarannya semata. Tetapi ia mesti mengusahakan agar tarbiahnya mengakar ke dalam rumahtangganya. Jika usahanya tidak berjaya ia mesti beruaha mengenalpasti apakah punca yang menghalang terakarnya tarbiah ke dalam rumahnya.....

Wahai para Daie "Tegakkanlah negara Islam dalam dirimu dan keluargamu pasti nantinya akan tertegak negara Islam di tanahairmu!".

Tuesday, December 1, 2009

Cara Yang Paling Sakit Untuk Mati..



Dr Azwan


Salam,

Saya menulis artikel ini di atas kejadian bunuh diri oleh seorang wanita berketurunan India yang meminum paraquat bersama anak-anaknya.

Membunuh diri adalah satu perkara yang diharamkan di dalam Islam. Sekiranya sesiapa yang mencabut nyawanya sendiri maka ia dianggap mati di dalam kekafiran. Mati dalam kufur maka natijah ialah api neraka yang akan menyiksa kita sampai bila-bila.

Di dalam beberapa hadis sahih Bukhari, ada disebut bahawa,"Siapa yang membunuh dirinya dengan racun, atau dengan besi atau yang sejenisnya, maka dia akan terus diazab dengan cara itu di hari kiamat...".

Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. yang bermaksud:

“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

KENAPA MEMBUNUH DIRI?

Kebiasannya mereka yang mahu membunuh diri akibat jiwa yang terlalu tertekan, sedih dan tidak tenteram. Ada juga yang disebabkan oleh masalah keterhutangan yang serius sehingga diancam. Ada yang sudah rosak akalnya disebabkan ketagihan najis dadah. Wajar dikatakan mereka ini mempunyai masalah hati yang serius (dari sudut kerohanian). Sebab musabab mereka menghadapi tekanan perasaan ialah akibat putus cinta, pergaduhan, kematian yang tersayang, terasa dipinggirkan, tidak disayangi dan macam-macam lagi.

Maka mereka yang tidak bersabar, tidak menerima bahawa ini semua adalah ketentuan Allah, tidak beriman pada Qada' dan Qadar, maka mereka akan menghabiskan nyawa mereka dengan meminum racun atau melompat dari tempat yang tinggi.

BENARKAH MEREKA INGIN MEMBUNUH DIRI?

Walaubagaimanapun, tidak semua mereka ini yang secara zahirnya ingin membunuh diri berhasrat untuk membunuh diri. Kebanyakan mereka yang ingin membunuh diri sebenarnya tidak berniat membuat demikian.

Satu kajian menunjukkan bahawa ada sebilangan yang ingin membunuh diri sebenarnya berniat untuk menarik perhatian seseorang atau kumpulan tertentu. Sebagai contoh, seorang isteri mungkin memotong dengan pisau tangannya untuk menarik perhatian suaminya. Itu sebabnya kadangkala, tidak ada urat yang terputus, hanya sekadar kulit yang terluka.

Begitu juga ada yang berdiri di tepi bangunan yang tinggi tetapi akhirnya diselamatkan kerana mereka hanya mahu menarik perhatian orang ramai sahaja supaya mendengar isi hati mereka. Setelah isi hati mereka didengari oleh mereka yang terlibat maka kemungkinan mereka tidak meneruskan hasrat mereka untuk membunuh diri.

Semasa di di Hospital Kuala Lumpur, ramai juga anak-anak remaja perempuan yang masuk ke hospital kerana menelan 10 biji panadol sekaligus kerana putus cinta. 10 biji panadol mungkin tak boleh membunuh seekor bapak ayam pun, tetapi itu adalah cara menarik perhatian yang berkesan kerana ia boleh mendatangkan kemungkinan maut.

Ini dipanggil "para-suicide". Atau dipanggil dalam bahasa saya - bunuh diri acah-acah.

Mereka yang ada percubaan para-suicide jangan dicabar, kerana mereka akhirnya akan jatuh kepada kategori suicide juga sekiranya masalah semakin meruncing dan tidak diselesaikan.

PARA SUICIDE YANG AKHIRNYA MEMBAWA MAUT

Apabila kita berbincang mengenai para suicide, saya rasa amat sedih kerana ramai yang pada awalnya sekadar mahu gertak-gertak sahaja dan mahu menarik perhatian orang akhirnya membawa kepada kematian. Ini kerana mereka tersalah cara.

Meminum paraquat, iaitu sejenis racun rumpai adalah salah satu cara yang paling-paling bodoh untuk melakukan para-suicide.

Saya ada pengalaman di HKL, seorang anak perempuan berketurunan India berumur belasan tahun bergaduh dengan ibunya hanya kerana benda yang tersangat-sangat kecil. Oleh kerana dia ingin menunjukkan tanda protes kepada ibunya, ditelannya sedikit paraquat. Sedikitnya cuma separuh daripada penutup kecil paraquat itu sahaja. Anak itu mengaku dia meminum sedikit sebagai mahu menarik perhatian ibunya. Tetapi langkahnya silap dan akhirnya mendatangkan kesan yang menggerunkan.

Pada awalnya, kawasan yang terkena paraquat seperti mulut, tekak dan perut akan luka seperti kesan terbakar. Itu pun sudah cukup tersiksa kerana dia tidak dapat makan kerana mulutnya terbakar dan terpaksa bergantung kepada makanan cecair di dalam salur darah.

Saya ketika itu menjangka, ia hanya berhenti setakat itu, tetapi satu demi satu masalah mula timbul. Di dalam masa 3 hari, buah pinggangnya mula rosak dan menyebabkan dia terpaksa menjalani dialysis. Beberapa hari selepas itu hatinya pula rosak. Dan akhirnya dia meninggal dunia. Ini semua gara-gara insiden pergaduhan kecil anak-beranak dan meminum sedikit paraquat. Seolah-olah filem Bollywood.

KESIMPULAN

Saya selalu menasihatkan kepada wanita yang ingin acah-acah membunuh diri.. Jangan minum paraquat. Jangan minum paraquat. Jangan minum paraquat!!

Anda akan mati di dalam keadaan kesakitan yang teramat-amat sangat dan keaadan yang sangat menghibakan.

Malah beratus ganda lebih teruk lagi daripada itu... Anda akan minum paraquat berkali-kali di akhirat kelak. Sedangkan satu kali minum pun sudah cukup menyiksakan...

Wallahu Alam.
coretan:

jangan lari dari masalah tapi cubalah selesaikan sedikit demi sedikit yang paling penting banyakkan bertawakkal pada Allah.....moga2 kita temui pintu kelauar....."HIDUP ADALAH PERPINDAHAN DARI SATU MASALAH KE MASALAH YANG LAIN"
wallahuallam
Related Posts with Thumbnails