Wednesday, July 20, 2011

Doakan kebaikan bukan keburukan

Oleh Suzana Ghazali

Akhir minggu baru ni, seorang rakan menghubungi telefon bimbit saya, memohon agar saya menghulurkan bantuan kepada adiknya yang sedang bermasalah. Memandangkan bunyi seperti kes kecemasan, saya terima untuk berdiskusi dengan adiknya, kebetulan petang hari akhir minggu itu (akan bercuti tiga hari sempena Hari Pekerja), jadual saya kosong. Temujanji ditetapkan pada jam 2.30pm memandangkan sesi temujanji sebelum itu berakhir jam 2.00pm. Boleh lah saya berehat sekejap di samping menunaikan solat. Mungkin kesukaran menemukan Klinik Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie yang saya kendalikan, rakan saya dan adiknya tiba hampir jam 3.10pm.
 
Seperti biasa, saya minta adik rakan saya mengisi borang maklumat diri dan ayat permulaan yang sama bagi setiap sesi temujanji: “Apa yang boleh saya tolong?” Rakan adik saya menarik nafas panjang, kemudian dia memulakan cerita, terperinci lengkap dengan tarikh-tarikh penting, penuh emosi terasa bagaikan saya sedang menonton sebuah drama bersiri. Malah ada tikanya saya terkejut apabila adik rakan saya tiba-tiba seakan bertempik, melakonkan semula aksi marah dan ganas suaminya. Ada tikanya pula dia menangis apabila menceritakan kisah-kisah duka sepanjang hampir 11 tahun perkahwinan mereka, telah diceraikan sebanyak dua kali dan merujuk semula. Pertemuan dengan saya baru-baru ini adalah bagi menyelesaikan segala permasalahan berkaitan memandangkan telah gugur talak terakhir, hujung April yang lalu.
Saya tak nak ceritakan tentang kisah rumahtangga adik rakan saya tadi. Fokus saya dalam perbincangan kali ini ialah tentang kata-kata akhir yang diucapkan oleh rakan adik saya tadi ketika hampir menamatkan ceritanya: “Kau buatlah aniaya kat aku. Aku doakan kau takkan senang hidup. Sengsaralah hidup kau….” Itulah antara kata-kata yang amat menarik perhatian saya. Nasihat saya kepada adik rakan saya pada petang tersebut, yang ingin saya kongsikan dalam perbincangan saya kali ini.

Saya faham, setiap individu berhak merasa sakit hati apabila diri dianiaya dan dizalimi. Sebagai manusia yang semestinya mempunyai hati dan perasaan, kita juga berhak untuk berasa geram dan marah. Ya lah, sabar pun ada batasnya. Kalau semedang ja kita yang bersabar sebaliknya pihak satu lagi dah jadi keras hati mengalahkan besi waja, sabar kita pun akan cair dan luntur. Namun, segeram dan semarah mana pun anda kepada seseorang, tak kiralah suami, isteri, bekas suami, bekas isteri, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga atau sesiapa sahaja pun di dunia ini, perkara yang paling penting yang tidak boleh anda lakukan ialah mendoakan keburukan berlaku ke atas diri individu tersebut.

Ya, saya akui, hidup bukan kerana kata, mati bukan kerana sumpah namun, percayalah… setiap kata yang keluar dari mulut anda malah apa juga yang terlintas di fikiran anda, boleh bertindak bagaikan doa. Bayangkan jika waktu tersebut, seluruh malaikat mengaminkan kata-kata anda!!! Dengan takdir Ilahi, kata-kata anda menjadi kenyataan dan percayalah juga, ramai yang menyesal apabila kata-kata yang diucapkan dalam keadaan marah tersebut, menjadi kenyataan. Saya pernah berdepan dengan sepasang suami isteri yang memang suka mengeluarkan kata-kata sinis dan keras, meminta keburukan berlaku kepada pasangan. Bila dah baik, mula mengungkit semula kata-kata masa pertengkaran tadi. Kelakarnya bila jawapan yang diterima: tadi kan tengah marah, macam-macam la yang keluar tapi I tak maksudkan pun, tak yah risau la....

Maksudkan atau tidak, bukanlah alasannya. Seperti tajuk perbincangan terawal saya menerusi ruangan ini, kata-kata yang kita lafazkan boleh menjadi doa dan Allah bersedia menunaikan hasrat dalam doa hamba-Nya. Kalau baiklah doa kita, baiklah jadinya. Sebaliknya kalau buruk doa kita, buruk jugalah jadinya. Jika anda pernah masuk ke blog saya, saya pernah kongsikan satu hasil kajian ke atas nasi. Selama seminggu dua botol berisi nasi dalam jumlah dan saiz yang sama diletakkan bersebelahan. Sebiji botol dilekat dengan kata-kata yang baik dan sebiji botol lagi, dilekat dengan kata-kata yang tidak baik. Malah dalam tempoh tersebut, ayat-ayat pada botol tersebut dibaca oleh mereka yang lalu lalang. Keputusannya, botol yang berlabel kata-kata yang baik, nasinya kekal dalam keadaan yang baik dan berbau seperti ragi. Tetapi botol berlabel kata-kata yang tidak baik, nasinya telah menjadi busuk. 

Jika bukan manusia yang dikatakan tiada hati dan perasaan terkesan dek kata-kata, apatah lagi kita yang bernama manusia? Bukan saja perlu jaga perkataan terhadap mereka yang masih bersama anda, sebaliknya juga mereka yang telah terpisah, seperti kes adik rakan saya tadi. Tak perlulah nak doakan keburukan orang lain, apatah lagi bekas pasangan anda. Anda pernah menyayanginya. Dia adalah ibu atau bapa kepada anak-anak anda. Apakah anda sanggup biarkan anak-anak anda melihat kecelakaan menimpa ibu atau bapanya?
Allah SWT Maha Pengampun, Dia akan ampunkan segala dosa hamba-Nya yang memohon ampun kepada-Nya namun dosa sesama manusia hanya akan diampunkan apabila manusia tersebut mengampunkan. Jangan bertindak zalim dengan berdendam atau enggan mengampunkan kerana kita juga hamba, belum tau keadaan dan tempat kita di akhirat nanti. Ampunkan dan doakan kebaikan, hati akan sentiasa tenang, insyaAllah!!!
****Siaran Mei 2009
Related Posts with Thumbnails