Showing posts with label 1 Motivasi. Show all posts
Showing posts with label 1 Motivasi. Show all posts

Monday, October 25, 2010

Lihatlah dengan mata hati




Sumber:Laman Seri


Sekadar Gambar Hiasan

Lihat dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai hakikat



MATA suka memandang dan mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang. Walaupun baru sekali berjumpa, ada yang sudah bijak menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk.

Orang itu jahil, si polan fasik, jiran kamu sombong, kawan kamu penipu, suami kamu pembohong, beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim, saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya. Itulah mata jahat yang bersatu dengan hati busuk.

Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum dan mendengar tutur bicara halus dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu umpama malaikat.

Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat.

Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.

Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat, perhatian itu hanya kepada mutiara kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini.

Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya. Antara manfaatnya ialah:

1. Menghilangkan rasa ujub pada diri sendiri.

Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu, hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah ali Imran ayat 8)

Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya.

Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata: “Alangkah baiknya agamaku, amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya! Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung berbanding diriku!”

2. Menyuntik semangat berlumba-lumba ke arah kebaikan.

Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan rasa dengki, cemburu dan iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik semangat untuk lebih berjaya.

Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak suka kiranya diturunkan kepadamu sesuatu kebaikan daripada Tuhanmu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah jugalah yang mempunyai kurnia yang amat besar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 105)

Ayat itu memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah.

Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan sebaliknya.

3. Sumber inspirasi, muhasabah diri.

Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif membahagi cinta.

Guru menjadi penyelamat anak yang bodoh, lembap dan bingung sehingga mereka menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan cita-cita setiap insan.

Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam hidup.

Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?

Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut, takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya. Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf dan nahi munkar ditegakkan.

Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian orang lain ke arah kebaikan. Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita boleh menuntun tangan saudara kita ke sana.

Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur munafik. Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh orang lain.

Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa amal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Shaff, ayat 2-3)

Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu melihat orang yang suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di mukanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini kerana mereka akan mencela dengan melampau juga. Menggunakan ayat penuh rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif. Mengapa nasihat yang kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya? Puncanya kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah.

Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang keikhlasan dalam memberi nasihat.

Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam persaudaraan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan hubungan sesama insan. Waspadalah dengan sikap antisosial. Ia boleh menghalang seseorang mendapat rahmat Allah.Adapun tanda seseorang mendapat rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya.

Renung-renungkan....


Coretan:(^_~)

Terima kasih buat semua yang menjayakan program semalam secara langsung & tidak langsung,alhamdulillah diatas mutiara hikmah yang cukup berharga yang dikongsi semalam,mungkin ia sebagai jawapan diatas masalahku ,moga tindakan yang ak bakal ambil bukan tindakan dalam keadaan yang keliru.....

Saturday, February 20, 2010

Biarkan cintamu megatakan tidak



Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.
Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.
Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya,
jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!”
Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya,
“jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”
Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya.
Memang benar kata pepatah Arab,
seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.
Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.
Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah.
Firman Allah:
“Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.
Justeru, cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip “kami dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al Quran) yang datang daripada Allah.
Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman…
Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!
Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata “tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.
Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah.
Lalu di manakah letaknya cinta kita?
Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.
Kekadang ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…
Kekadang solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu “ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran” dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…
Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.
Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya… demi cinta!
Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita kerana Allah.
Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.
Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.
Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!”
Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?
Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itru akan kekal sampai bila-bila…

Tuesday, February 24, 2009

MOTIVASI

Diri anda sebenarnya mampu melakukan ‘wonders’ lebih daripada apa yang anda sangkakan. Tetapi diri anda sering diselubungi tembok yang menghalang anda dari mencapai cita-cita tersebut. Kadang-kadang anda takut gagal. Sejarah lampau juga menghantui langkah anda. Mungkin juga anda jahil. Atau sasaran terlalu kabur untuk anda focus. Di satu segi, mungkin anda kurang sumber. Mungkin juga hati anda bersarang dengan sifat bodoh sombong atau pentingkan diri. Apa yang perlu anda lakukan ialah meruntuhkan tembok itu dan menerobos sempadan diri. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

BAGAIMANA MENEROBOS SEMPADAN DIRI ?
1. Patuh perintah Allah
2. Doa yang konsisten
3. Bijak mengeksploitasi kehebatan diri
4. Membentuk matlamat yang jelas
5. Kerja berkualiti
6. Baiki diri dan seru orang lain
7. Bentuk suasana yang memberangsangkan
8. Memotivasikan orang lain
9. Hormati orang lain
10. Tingkatkan produktiviti
11. Luaskan persahabatan
12. Positif dan bersangka baik
13. Berinteraksi dengan mantap
14. Kreatif
15. Bekerja secara tersusun
16. Bijak menggunakan peluang
17. Redha dan ceria
18. Pemaaf
19. Muhasabah diri
20. Jangan paksa orang lain menerima pendapat
21. Membentuk karisma
22. Yakin dengan Allah
Related Posts with Thumbnails