Showing posts with label keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label keibubapaan. Show all posts

Monday, April 4, 2011

Hadapi masalah kewangan bersama

SOALAN: 

Saya bertugas di sebuah jabatan kerajaan manakala suami berkerja di sektor swasta. Gabungan gaji kami berdua tidak seberapa. Setiap bulan, saya bingung memikirkan masalah kewangan yang kami hadapi. Baru sahaja mencecah seminggu, duit gaji kami berdua licin untuk perbelanjaan seharian. Tambahan pula kami kini menanggung dua orang anak yang masih kecil. Masalah ini sedikit sebanyak mengganggu keharmonian rumah tangga kami. Apa yang patut saya lakukan agar kewangan dan rumah tangga sama-sama stabil?


JAWAPAN:

Masalah kewangan boleh dikategorikan sebagai masalah biasa bagi kebanyakan individu atau pasangan hari ini. Bak kata pepatah: besar periuk, besar juga lah keraknya. Namun, terpulang kepada individu atau pasangan tersebut untuk bertindak terhadap kerak yang ada; sama ada nak dibuang atau boleh juga dimakan bersama kari, masih mampu menyelerakan tekak.


Kepada puan yang bertanya, juga buat pembaca semua; masalah kewangan bukan satu perkara yang boleh menjadi peluru menikam jantung. Tiada masalah tanpa jalan penyelesaian. Jalan paling utama ialah suami puan perlu usahakan sesuatu untuk menambah pendapatan keluarga. Saya sebutkan suami kerana suami merupakan ketua keluarga dan perlu bertindak bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi di dalam rumahtangga. Namun, tidak bererti puan perlu berdiam diri. Sebagai isteri yang juga bertindak sebagai rakan kongsi, puan juga boleh membantu suami usahakan sesuatu.


Dalam dunia serba canggih kini, terlalu sedikit individu yang melakukan kerja tunggal. Ramai yang menjalankan pelbagai pekerjaan serentak bagi membiayai kehidupan sendiri dan keluarga. Nasihat saya; berhati-hati dalam berusaha! Jangan mudah terpedaya dengan pujukan pelbagai iklan yang menawarkan pendapatan mudah dengan usaha minima. Terlalu banyak kes berkaitan dikenalpasti sebagai satu penipuan. Ingat! Tiada jalan mudah untuk memperolehi kesenangan temasuk kewangan yang baik dan halal untuk keluarga!


Dalam berusaha juga, pastikan komunikasi suami isteri dan anak-anak terjaga. Wang perlu tapi bukan segalanya. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Selain itu, puan dan suami juga perlu mengurus kewangan dengan lebih bijak. Utamakan keperluan semata-mata dahulu hingga kewangan lebih stabil, barulah sesekali menunaikan kehendak kepada sesuatu yang termasuk dalam kategori kemewahan. Dalam berbelanja juga, utamakan kualiti barangan dan bukan jenama. Ada juga barangan pasar malam yang baik mutunya dan standing dengan barangan berjenama dengan harga tinggi di pusat beli belah. Paling penting; elakkan menggunakan kad kredit. Penggunaan kad kredit sebenarnya menambah hutang dan bukan menyelesaikan masalah kewangan anda.


Di samping usaha tadi; puan dan suami boleh lakukan beberapa amalan tuntutan syarak yang boleh membantu menambah rezeki keluarga. Amalan paling penting: jangan abaikan solat malah dirikanlah solat terutama solat lima waktu. Dirikan bermaksud melaksanakan solat dengan penuh khusyuk, tertib rukun dan penuhi syaratnya. Selalulah beristighfar memohon ampun kepada Allah. Ada tikanya kita tak sedar dengan kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan. Beristighfar memohon ampun boleh membersihkan diri seterusnya membantu memurahkan rezeki.


Puan dan suami juga perlu memperuntukkan sedikit wang untuk diberikan kepada ibu dan bapa masing-masing. Tak perlu banyak tetapi perlu ikhlas. Pemberian tersebut akan menceriakan hati ibu bapa walau hakikatnya mereka tak minta malah membantu menambahkan barakah dalam rezeki yang puan dan suami terima. Barakah bukan bererti banyak tetapi akan mencukupi biar apa pun jumlahnya dan tak kira apa pun perbelanjannya. Bantulah juga mereka yang memerlukan. Bantuan yang kecil tetapi setulus hati akan membahagiakan orang lain. Kebahagiaan mereka menjadi asas rahmat untuk kewangan puan sekeluarga, insyaAllah!


Saya juga ingin merayu agar puan mengubah pendirian puan terhadap anak-anak. Berdasarkan penyataan puan menerusi soalan yang dikemukakan, puan seolah-olah merasakan anak-anak adalah bebanan. Jangan simpan perasaan atau pendirian sedemikian. Walau bukan diluahkan secara langsung, rasa terbeban memikirkan keperluan anak-anak juga termasuk dalam anggapan mereka sebagai bebanan. Ketahuilah! Dalam satu hadis Rasulullah SWT, baginda menegaskan Allah SWT akan memberikan rezeki kepada rumah yang mempunyai insan yang lemah. Ulama mentafsirkan insan yang lemah sebagai mereka yang tidak berdaya iaitu orang tua (ibu bapa) dan kanak-kanak. Anak-anak ini telah dijanjikan dengan rezeki mereka yang tersendiri cuma sebagai ibu bapa mereka, kita hanya perlu usahakan rezeki tersebut.


Puan seisi keluarga juga perlu bersyukur dengan rezeki yang ada. Memang perit tetapi jangan sesekali mengeluh apatah lagi mempertikaikan anugerah pemberian-Nya. Puan sekeluarga sepatutnya bersyukur kerana biarpun wang gaji habis dalam masa seminggu sahaja, puan dan suami masih punya pekerjaan dan pendapatan. Masih ramai lagi mereka di luar sana yang tiada pekerjaan atau sumber pendapatan dan terpaksa mengikat perut. Dalam mengharungi ranjau hidup, boleh memandang kepada yang lebih senang dan berjaya tetapi perlu dengan iltizam dan semangat untuk anda juga berusaha gigih bagi mencapai kedudukan seperti mereka. Pandang dan perhati juga kepada mereka yang lebih dhaif daripada anda bagi mewujudkan rasa insaf dan syukur atas segala nikmat pemberian-Nya.


Percayalah! Masalah kewangan yang anda hadapi kini bukan hanya sebagai satu ujian sebaliknya mempunyai sebab dan alasan yang tersendiri. Jangan jadikan masalah kewangan sebagai pemangkin ke arah masalah hubungan antara suami isteri. Sepatutnya, puan dan suami sama-sama berbincang, ikhtiarkan jalan penyelesaian, bersama-sama berganding bahu untuk keluar daripada masalah yang ada. Ikhtiar paling utama di samping usaha fizikal anda ialah doa. Berdoalah kepada-Nya tanpa putus asa! Mohon agar dikurniakan kemurahan rezeki yang baik dan halal. Jelaskan bentuk rezeki yang anda inginkan. Perlukan penjelasan kerana rezeki kurniaan Ilahi mempunyai pelbagai bentuk. Anak juga rezeki. Pekerjaan juga rezeki. Jika inginkan lebihan pendapatan; sebutkan dengan jelas! Jika inginkan kenaikan gaji, ucapkan juga dengan terang.


Ya! Allah SWT Maha Memahami dan Mengetahui. Analogi mudah, kalau anda ke restoran; semestinya pelayan dah tau anda nak makan tetapi kalau anda tak sebutkan dengan jelas jenis atau bentuk hidangan yang anda inginkan, kemungkinan hidangan yang diberikan kepada anda tersalah daripada kehendak anda adalah tinggi. Berdoa sepanjang masa, bukan hanya selepas sembahyang yang lima. Bila teringat tentang kemelut yang dihadapi, berhenti seketika dan mohonlah kepada-Nya, walau tika itu anda sedang berhenti di lampu isyarat atau sedang menaip di hadapan komputer.


Di samping doa agar murah rezeki, berdoa juga untuk ibu bapa. Doa mohon kesejahteraan untuk ibu bapa menjadi faktor pemangkin kepada kemurahan rezeki anda sekeluarga, insyaAllah!! Berdoalah dengan sepenuh hati dan pengharapan, penuh pengaduan dan rayuan. Allah SWT dah janjikan, mohonlah kepada-Nya dan DIA akan tunaikan dengan syarat; jangan sesekali mempertikaikan kenapa DIA lambat atau belum makbulkan doa anda. DIA lebih tau yang terbaik untuk anda.


Jika doa anda dimakbulkan dengan cepat, betullah anda disayangi. Jika doa anda dimakbulkan lambat, bukan tak sayang cuma DIA ingin menguji iman dan kesabaran anda. Andai DIA tak tunaikan pula bermaksud DIA ingin berikan yang lebih baik daripada yang anda minta. Usaha, doa dan tawakkal mengharapan redha-Nya! Pasti ada bahagia, insyaAllah!!


****Petikan ruangan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma bulan Oktober 2010.

Monday, March 28, 2011

Didik anak mengikut usia

Sumber:Roslah Othman
MEMIKUL tanggungjawab menjadi ibu dan bapa bukan satu perkara yang mudah. Matlamat keibubapaan itu sendiri perlu diketahui supaya anak dapat dibimbing untuk mencapai potensi menjadi insan yang berguna, bertanggungjawab dan produktif.

Penceramah Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rahmah Othman berkata, dalam konsep keibubapaan sendiri, bapa adalah ketua dan pemimpin keluarga, manakala ibu sebagai pembantu bapa dalam pengurusan keluarga dan rumah tangga serta menjadi pemimpin semasa ketiadaan bapa.

Dalam cabaran masa kini, ibu bapa perlu ada anjakan paradigma supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik lagi.
Rahmah berkata, dalam mendidik anak, terdapat tahap-tahap tertentu yang perlu diketahui dan diikuti oleh setiap ibu bapa.

‘‘Anak berusia satu hingga tujuh tahun perlu dididik secara bergurau dan jangan dipukul. Bagi anak berusia lapan hingga 14 tahun, sebaiknya didik mereka dengan disiplin, tunjuk ajar dan kasih sayang.

‘‘Sementara di peringkat remaja iaitu 15 hingga 21 tahun, anak harus dididik macam kawan, jangan dirotan dan dimarah. Sebaliknya, peluk, pujuk dan nasihati mereka. Manakala selepas usia 21 tahun, ibu bapa perlu memberi kebebasan mereka membuat keputusan dan tindakan,’’ ujarnya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Ibu bapa Teman Sejati’ pada Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga Ilmu Keluarga @ LPPKN bertajuk Anakku, Kalian Segalanya di Bangunan LPPKN, baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai mendidik anak, khususnya anak remaja, perhubungan dan interaksi positif ibu bapa dengan anak perlu ada. Ia termasuk saling menghormati, sedia mendengar, memberi galakan dan sokongan serta menerima anak itu sebagai individu yang istimewa.

Katanya, peringkat usia 10 hingga 19 tahun merupakan masa yang paling kritikal kerana remaja akan mengalami pelbagai perubahan dan perkembangan meliputi perubahan fizikal, mental, psikologi, emosi dan sosial.

‘‘Pada peringkat usia ini mereka akan menghadapi pelbagai persoalan yang menekan jiwa. Ketika ini jugalah proses mencari dan membentuk identiti, perubahan fizikal pada tubuh badan, perasaan yang bercelaru dan keinginan untuk dihargai boleh menyebabkan berlaku tekanan jiwa,’’ ujarnya.

Menerangkan mengenai remaja berumur 10 hingga 14 tahun kata Rahmah, di peringkat itu mereka lazimnya, bersifat logikal, sentiasa ingin tahu, suka bertanya itu dan ini, lasak, bertenaga, suka meneroka cabaran, namun masih bersifat keanak-anakkan.

Pada peringkat inilah, kata beliau hubungan dengan keluarga amat penting, termasuk keinginan untuk mereka berbincang dengan ibu bapa masih ada.

Sementara remaja peringkat pertengahan 14 hingga 17 tahun mereka mula utamakan rakan sebaya daripada keluarga. Remaja peringkat ini dikatakan suka memaksa dan mendesak.
Malah, di peringkat ini juga mereka mula mencari identiti diri dengan cuba membentuk peribadi menjelang 
kedewasaan.

Di peringkat ini, kata Rahmah, jika remaja tidak dibimbing dengan sewajarnya, kemungkinan untuk mereka terlibat dengan gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, seks bebas dan lari dari rumah adalah tinggi.

Sementara, peringkat 17 hingga 19 tahun, kata Rahmah, mereka lazimnya telah mengenali dan menghayati identiti diri yang sebenar. Ikatan dengan rakan sebaya semakin berkurangan dan beralih kepada individu berlainan jantina. Malah di peringkat ini keupayaan mereka untuk berfikir juga lebih terbuka dan mula berfikir untuk masa depan.

‘‘Remaja di peringkat ini bukan sahaja boleh berdikari tanpa ibu bapa, tetapi juga daya fikiran dan imaginasi digunakan untuk kepentingan pelajaran dan kerjaya,’’ terangnya.

Remaja di peringkat ini juga, kata Rahmah, sememangnya memerlukan perhatian dan tumpuan. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa atau mempunyai ruang untuk mendekati dan mendampingi anak remaja mereka.

Malah ibu bapa juga perlu bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang anak sedang buat, apa yang anak sedang difikirkan, apa yang ada dalam begnya, apa yang disembunyikan, siapa kawan-kawannya dan di mana tempat yang dikunjunginya.

Menerangkan beberapa cara menzahirkan kasih sayang kepada anak remaja, beliau menjelaskan ia termasuk melalui percakapan, pujian, pengiktirafan, bergurau senda dan ucapan yang baik. Malah ia juga boleh ditunjukkan melalui perlakuan atau gerakan badan, bersalaman, memeluk, mencium, memberi hadiah, beriadah bersama dan saling menghormati.

Dalam masa sama, ibu bapa sewajarnya mengambil inisiatif menerangkan atau menjelaskan mengenai peraturan berkaitan sentuhan. Akibat terlalu naif, ada remaja terlibat dengan gejala itu sekadar ingin mencuba tanpa memikirkan risiko yang akan ditanggung.

‘‘Anak-anak perlu diterangkan tubuh mereka adalah milik mereka sahaja, tidak siapa berhak menyentuh bahagian sulit tubuh mereka kecuali bagi tujuan kebersihan atau kesihatan. Begitu juga tiada siapa berhak meminta menyentuh bahagian sulit tubuh mereka.

‘‘Malah jika mereka tidak berasa selesa apabila disentuh seseorang, katakan ‘tidak’, lari dan beritahu orang lain yang dipercayai,’’ ujarnya sambil menegaskan anak-anak juga perlu diterangkan tentang bagaimana membezakan antara sentuhan selamat, selesa dan sebaliknya.

Dalam ceramahnya juga Rahmah turut menerangkan bagaimana terdapat empat gaya keibubapaan yang menjadi amalan ibu bapa hari ini tanpa disedari amat mempengaruhi seorang anak itu.

Empat jenis yang dimaksudkan, jenis A Autoritarian (tinggi kawalan, rendah kasih sayang), jenis B-Permisif (rendah kawalan, tinggi kasih sayang), jenis C-Pengabaian (rendah kawalan, rendah kasih sayang ) dan jenis D-Autoritatif (tinggi kawalan, tinggi kasih sayang).

Berbanding jenis A, B dan C, jenis D iaitu Autoritatif yang lebih berasaskan konsep demokratik seperti kesamarataan dan amanah lebih berjaya membimbing anak-anak ke arah pencapaian potensi mereka sebagai individu yang bertanggungjawab, berdikari, produktif dan berakhlak mulia.

‘‘Ibu bapa yang menggunakan pendekatan jenis D dalam mendidik anak merupakan ibu bapa yang seimbang memberi sepenuh perhatian terhadap keperluan anak-anak dan meletakkan batasan yang jelas terhadap tingkah laku anak-anak. Ibu bapa ini membuat keputusan berdasarkan keperluan, bukan keinginan atau nafsu anak-anak,” katanya.


Sumber: Utusan 10/07/2008

Bapa moden kurang berinteraksi



Peranan sebagai ketua keluarga menuntut tanggungjawab besar supaya dapat jadi contoh terbaik kepada anak

PERUMPAMAAN bapa borek anak rintik begitu besar maknanya dalam masyarakat Melayu. Ia menggambarkan betapa seorang bapa itu menjadi ikon kepada anak. Bapa sebagai ketua keluarga, dilihat berkuasa, bertanggung jawab sepenuhnya dan amat dihormati seluruh ahli keluarga. Sayangnya, gambaran ini tidak lagi relevan dengan bapa zaman kini kerana semakin ramai bapa mengabaikan tanggungjawab mereka.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mendapati kebanyakan bapa kurang berbincang dengan anak mereka mengenai kehidupan seharian serta kurang komited dalam menerapkan nilai murni kepada anak remaja.

Hasil kajian itu turut membuktikan, bapa moden kurang memainkan peranan mereka sebagai ketua yang sepatutnya membimbing keluarga masing-masing. Sebaliknya, tugas berkenaan lebih banyak diambil alih oleh isteri.

Penolong Pegawai Penerangan, Unit Pendidikan LPPKN, Hamzah Ibrahim pada Kursus Ilmu Keluarga LPPKN, berkata bapa hari ini perlu diberikan kesedaran untuk memperkasakan diri bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga agar lebih dihormati anak, tambahan pula bapa sentiasa diteladani anak yang cenderung meniru sikap mereka tidak kira negatif mahupun positif.

“Sebagai pemimpin, bapa adalah idola anak. Apabila bapa tidak memainkan peranan yang sepatutnya, anak hilang arah tuju. Sebagai pemimpin, bapa ada kuasa dan hak dalam keluarga. Kalau tidak mampu memainkan peranan seperti mengajar agama, seorang bapa perlu menghantar anak kepada mereka yang lebih arif untuk belajar mengenai agama. Berdosa jika tidak menunaikan tanggungjawab ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Kursus Bersiri LPPKN bertajuk Bapa dan Keluarga: Tanggungjawab dan Cabaran, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyelidikan yang dijalankan pada 2004 dan setiap 10 tahun itu membabitkan ibu bapa muda berusia sehingga 49 tahun di sekitar Lembah Klang melalui pelbagai soalan yang dikemukakan kepada mereka. Soalan menyentuh mengenai pembabitan mereka sebagai teman anak, kekerapan berbincang dengan anak mengenai cita-cita, cara berpakaian, hal peribadi, perbelanjaan, pergaulan dengan rakan dan pendidikan.

Bapa juga mengaku kurang menerapkan nilai murni di kalangan anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun berbanding ibu. Nilai murni yang dimaksudkan seperti rasa bersyukur, disiplin, berilmu, bertakwa, amanah, jujur dan hormat pada orang lain.

Hamzah berkata, berdasarkan dapatan daripada kajian itu beliau menyeru agar semua bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan keluarga agar dapat mengenali diri setiap anak.

“Kalau boleh jangan biarkan hanya ibu mengambil alih semua tugas ini sedangkan ia adalah amanah yang dipikul oleh bapa. Kurang membabitkan diri dalam aktiviti keluarga menyebabkan anak hilang rasa hormat terhadap bapa. Justeru, tidak hairanlah seandainya anak gemar melawan dan tidak mendengar nasihat bapanya kerana tidak melihat bapanya sebagai contoh yang baik.”

“Isteri juga tidak boleh dibiarkan keseorangan untuk menjaga anak sedangkan bapa keluar untuk melakukan aktiviti sendiri seperti memancing dan sebagainya. Kalau mahu keluar juga, mintalah keizinan isteri,” katanya.

Beliau berkata, kuasa bukan bermakna bapa perlu bersikap dominasi atau garang tidak tentu pasal. Sikap tolak ansur perlu terhadap anak dan isteri demi memastikan keluarga hidup aman damai. Justeru, amat penting seorang bapa mengenal diri sendiri. Sekiranya sikap mereka itu tidak sesuai untuk dijadikan contoh keluarga, berusahalah untuk mengubah suai atau mengawalnya.

“Perubahan ini boleh dilakukan dengan mengenali sifat diri atau jenis personaliti yang dimiliki. Mengikut ilmu psikologi, setiap individu memiliki sifat atau gabungan sifat haiwan seperti kancil, singa, unta dan kuda. Kancil dianggap sebagai penghibur, singa pula pengarah, unta adalah pendamai dan kuda sebagai pemudah cara. Berdasarkan sifat ini, anda boleh mengubah suai dan mengawal diri apabila berdepan dengan pelbagai situasi atau anak.

“Renungkan ke dalam diri anak bagi mengenal pasti sifat mereka pula dan cuba fahami diri mereka. Misalnya, kancil sebagai penghibur gemar berseronok, suka perubahan, kreatif dan banyak berbicara. Jika anak suka mencabar, kuat semangat, berdikari, gemar mengawal atau membuat keputusan, bermakna dia memiliki sifat singa. Mengenali sifat diri dan anak, memudahkan anda berinteraksi dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Kaunseling Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN, Dr Khamsiah Ibrahim tidak menafikan bapa moden hari ini berdepan cabaran berbeza dengan bapa dulu. Bagaimanapun, cabaran ada kalanya diperlukan bagi memberikan perubahan positif dan mendorong untuk melakukan perubahan dalam hidup.

Cabaran bapa di bandar mungkin berbeza dengan cabaran bapa di kampung. Apa yang sama adalah menjadi bapa bukan secara kebetulan! Cabaran tetap wujud walau di mana lokasi anda menjadi bapa.

“Cabaran dihadapi bapa semakin meningkat apabila bilangan anak bertambah, kos sara hidup yang tinggi, masa bekerja yang sibuk dan menyebabkan mereka kurang berada di rumah untuk bersama anak-anak dan isteri. Hasilnya, kurang masa berbual, kurang memahami anak yang berpunca daripada kurang peluang untuk mengenali mereka. Kuasa penuh ayah mendidik anak berkurangan, tetapi kuasa mendidik ini berpindah kepada pembantu rumah, rakan sebaya mereka atau persekitaran seperti televisyen dan internet,” katanya.

Beliau berkata, berbanding bapa tradisional berkuasa veto dalam membuat keputusan, mereka menjadi punca pendapatan utama dan menjadi model kepada anak-anak tanpa pengaruh internet seperti yang ada pada hari ini. Bapa moden pula adalah ‘ketua kerajaan campuran’ kerana suami isteri sama-sama bekerja. Kuasa veto bapa moden hari ini semakin menipis.

“Justeru, bagi memperkasakan diri seorang bapa, mereka perlu tampil hebat pada pandangan mata anak. Seorang bapa perlu ada pengetahuan dan penampilan yang unik agar boleh dibanggakan anak iaitu kehebatan dari segi emosi dan sosial. Mereka perlu menjadi demokrasi dan bertoleransi, pakar rujuk, dihormati dalam membuat keputusan. Anak berhak mendapat perhatian, empati (sifat memahami), didengari, merasa selamat, gembira dan dilindungi ketika bersama bapa,” katanya.

Bapa yang tidak mengajar anaknya mengenai tanggungjawab mereka adalah bersalah, sama dengan anak yang mengabaikan mereka. Kata-kata Confucius ini seharus direnung setiap lelaki yang bergelar bapa. Besarnya tanggungjawab bapa bukan saja pada anak dan isteri, tetapi peranan mereka sebagai anak. Jangan salahkan anak apabila mereka tidak mengendahkan ibu bapa kerana hakikatnya tanggungjawab itu tidak dilatih atau ditunjukkan contoh oleh anda sebagai bapa.

Aduhai bapa moden....

Kaedah umum didik anak - lelaki & perempuan





Sumber:Laman Seri:




Assalamualaikum warahmatullah,

Akhir-akhir ini kita disajikan dengan kisah anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa sendiri. Si Tanggang versi moden ini tegar menginggalkan ibu/ayah tua di pusat dialysis, perhentian bas, rumah orang tua dan sebagainya. Mengapa anak-anak zaman sekarang tidak tahu dan tidak mahu mengenang budi ibu dan ayah yang telah banyak menabur jasa dan bersusah-payah membesarkan anak-anak sehingga anak-anak ini dapat hidup dengan selesa dan sempurna?

Tidak dapat kita nafikan, ada kalanya kita fikir ibu dan ayah tadi telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, mungkin ini sudah takdirnya diuji begitu. Tetapi benarkah ibu bapa sudah memberikan didikan yang sempurna didikan kepada anak-anak? Saya percaya, jika anak-anak diberi didikan yang cukup mantap dalam agama, insya Allah, kisah si Tanggang moden ini dapat kita minimumkan. Mari kita refresh didikan asas untuk anak-anak dan kenal-pasti kelemahan yang masih kita perbaiki.

Dari segi prinsip dan perkara pokok dalam didikan, mendidik anak lelaki dan anak perempuan sama saja. Tanggungjawab ibu bapa Mukmin dalam soal ini ialah memberi sebaik-baik didikan sebagaimana yang Allah dan Rasul kehendaki. Kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah – sama ada anak itu ‘menjadi’ atau tidak. Kerana setiap kita akan ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti berkenaan amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan di pundak kita. Memberi didikan yang baik dan sempurna ini adalah hak paling utama bagi anak-anak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa.

Kesedaran ibu bapa secara mendalam terhadap hak pendidikan anak-anak ini sangat perlu dan penting bagi memelihara zuriat dan keturunan mereka daripada kehinaan, kerendahan dan kejahilan. Untuk itu, ibu bapa perlu memahami paling tidak perkara yang dikira asas ilmu pendidikan itu sendiri. Dengan itu, tidaklah kita hanya menyerahkan bulat-bulat anak kita kepada sekolah dan guru-guru. [NB: Saya masih ingat lagi pada hari pertama saya menghadirkan diri ke sekolah anak pada awal tahun ini (anak sulong masuk Pra-sekolah) guru besar sekolah anak berulang-ulang kali berpesan dalam ucapan alu-aluannya, “Ibu bapa adalah guru pertama dan utama dalam setiap anak. Kami sebagai guru cuma pemegang amanah kedua selepas ibu bapa dan bertanggungjawab terhadap anak-anak dalam masa yang ditetapkan sahaja.” Maksudnya, guru cuma memegang amanah dalam lingkungan masa anak berada di sekolah sahaja, sepanjang waktu selain dari waktu sekolah adalah tanggungjawab mutlak ibu bapa anak-anak itu sendiri.]

Dalam soal mendidik anak lelaki dan anak perempuan, kaedah yang digunakan ada yang berbentuk umum dan ada yang berbentuk khusus. Bila dikatakan kaedah umum, maksudnya ada kaedah pendidikan yang sama dikongsi anak lelaki dan anak perempuan. Kaedah khusus pula adalah kaedah yang hanya tertentu kepada anak lelaki atau anak perempuan sahaja – sesuai dengan fitrah, tanggungjawab dan peranan mereka yang berbeza.

Kaedah umum dalam mendidik anak-anak, baik yang lelaki atau perempuan, meliputi perkara-perkara berikut:

1. Mendidik iman dan akidah yang hak

a. Mengenalkan Allah – Lahir sahaja anak ke dunia, biarlah perkataan pertama yang didengarinya adalah sebutan nama Allah. Sebab itu disunatkan azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri bayi sama ada bayi lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah SAW, “Bukakanlah (baca dan ucapkanlah) kepada anak-anak kamu kalimat pertama dengan La ilaha illallah.” (Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Abbas r.a.)

b. Mentaati Allah – Ini merupakan didikan iman paling asas selepas mengenalkan anak-anak kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW : “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan. Sebab hal itu akan melepaskan mereka dari seksa neraka.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)


Saturday, February 12, 2011

JANGAN PINTA KEMATIAN AYAH MU!

Sumber: Genta-rasa


Konflik antara ibu-bapa dan anak pasti terjadi. Walau bagaimana sabar dan bijaksananya kita mentadbir keluarga, satu ketika masalah ini akan muncul jua. Apatah lagi kita yang masih bermujahadah ini… tetap akan diuji Allah dengan karenah anak-anak.
Anak-anak pelbagai wataknya. Ada yang mudah mendengar, mudah dibentuk. Ada yang lemah, mudah terpengaruh… perlu diperkukuhkan selalu. Ada yang bijak, boleh diharap menjadi pengganti sewaktu diperlukan.
Dalam hal memilih jodoh misalnya, kekadang lebih sukar daripada memilih jodoh anak-anak berbanding memilih jodoh kita sendiri. Begitu juga dalam soal yang lain. Pandangan anak-anak perlu diraikan. Apa yang kita nampak, kekadang ditolaknya… bukan kerana dia derhaka, cuma belum sampai fikir dan congak mindanya ke tempat tuju fikiran kita. Masa perlu dihulurkan, perbincangan perlu diraikan. Jalan kita dahulu mungkin tidak relevan lagi dengan jalannya sekarang.
Apapun, prinsip dan syariat tetap sama. Mutlak sampai bila-bila. Pendekatan menegakannya sahaja yang mungkin berubah dan beza. Kebelakangan ini kerap pula saya menerima rintihan anak tentang saikap ibu-bapa. saya sungguh empati. Betapa kekadang saya juga pekak dan buta daripada rintihan anak sendiri. Kita perlukan hiadayah Allah untuk ketepatan dalam memimpin dan membuat keputusan. Sayang, cinta dan kasih tidak menafikan kebijaksanaan, ketegasan dan keadilan.
Untuk sahabatku di luar sana. Mari berkongsi rasa bersama masalah yang pernah dihadapkan kepada saya  ini. Mudah-mudahan, ada kebaikan yang dapat dipelajari dan diteladani oleh kita semua… Kita  sebagai ibu-bapa, mahupun kita sebagai anak.
Soalan:
Saya seorang pelajar di IPTA. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Apa yang merisaukan saya ialah semenjak akhir-akhir ini, sifat ayah  sungguh berlainan. Rupa-rupanya dia mempunyai perempuan lain dalam hidupnya. Apa yang saya tahu, dia telah ‘diguna-gunakan’ oleh perempuan itu.
Hubungan ayah dengan kami adik beradik semakin renggang. Ayah sering pulang lewat, malah kadang kala tidak pulang langsung. Pelajaran kami adik beradik juga tidak dipedulikan. Sejak itu saya mula membenci ayah. Perasaan benci ini adakalanya menyebabkan saya mendoakan agar bapa saya mati sahaja. Saya tahu perbuatan saya ini salah, tetapi apakah yang harus saya buat dalam situasi ini?
Jawapan:
Dalam Islam, kita dituntut supaya menghormati ibu dan ayah kita, tidak kira dalam dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukan setakat tidak boleh menderhaka, malah jika kita tidak mendoakan kesejahteraan keduanya pun, kita sudah boleh  dianggap anak yang derhaka. Itu kalau kita tidak doakan kesejahteraan mereka, jadi bagaimana pula kalau kita doakan kecelakaan ke atas mereka?
Bermakna itu lebih derhaka. Dan jika anda doakan agar ayah anda mati, maka tidakkah itu bermakna bahawa anda lebih jahat daripadanya? Saya akui masalah ini agak sulit ditangani oleh anda atas kedudukan anda sebagai seorang anak yang dikira masih terlalu muda untuk mengetahui punca sebenar masalah… Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh memainkan peranan yang penting untuk setidak-tidaknya tidak menambah masalah lagi. Dan saya tegaskan, bahawa mendoakan supaya seseorang mati, (lebih-lebih lagi ayah anda sendiri) bukanlah sebahagian daripada cara menyelesaikan masalah ini.

Anda sendiri yang mengatakan bahawa ayah anda telah ‘diguna-gunakan’. Jika itu memang benar  patutkan beliau yang dipersalahkan? Ya, kalaulah benar dakwaan anda itu, ini bermakna ayah anda hanya menjadi ‘mangsa’ bukan pemangsa. Apabila menjadi mangsa, maka ibu dan keluarga anda turut menerima akibatnya. Kalau demikian, ayah anda wajar dibantu, bukan dibenci. Malah mungkin keadaannya lebih buruk dan teruk daripada apa yang anda deritai.
Jadi sekarang, persoalannya ialah bagaimana ingin ‘menyelamatkan’ ayah anda, bukan bagaimana hendak ‘mematikan’nya? Dan sebagai seorang anak, anda punya banyak cara untuk membantunya. Dan inilah yang akan membawa kepada penyelesaian kepada masalah ini secara tidak lansung. Pertama, sekurang-kurangnya anda perlulah membantu diri anda sendiri terlebih dahulu. Yakni dengan cuba melawan perasaan kecewa, marah dan benci yang ada dalam diri anda itu. Stabilkan diri anda dan jalanilah hidup dengan sebaik-baiknya. Anda perlu faham bahawa masalah adalah ‘rule of life’ – hukum kehidupan yang perlu diterima oleh semua manusia.

Pandanglah ke kiri dan ke kanan anda, dan insafilah semua orang sedang berdepan dengan hukum kehidupan ini. Malah, ada diantara mereka yang lebih sukar lagi daripada anda. Mungkin bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masih kecil dengan bilangan adik-beradik yang begitu ramai, ibu pula sakit-sakit. Tetapi anda tidak begitu… anda adalah lebih baik kerana ayah anda masih hidup, ibu anda masih sihat.
Tujuan saya menceritakan hal ini ialah untuk memberi semangat pada diri anda supaya tenang dan berpijak di bumi nyata dalam menghadapi sesuatu masalah. Jangan terlalu mengharap dunia akan jadi seperti yang kita idamkan. Dan jangan marah, jika anda dapati ayah anda atau siapa sahaja tidak bersikap seperti yang anda kehendaki kerana diri anda sendiri tidak bersikap seperti anda sendiri kehendaki… betul tak? Jadi, rasionallah. Hadapi kenyataan dengan sewajarnya.

Sunday, December 19, 2010

5 Petua Lahir Anak Soleh

Sumber:feryco.com
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui.”
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
Sebenarnya, setiap manusia yang lahir ke dunia dalam keadaan suci bersih dan yang membentuknya menjadi baik atau buruk adalah kedua ibu bapanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Namun, sebelum mahu membentuk anak menjadi salih, ibu atau bapa hendaklah berusaha menjadi ibu yang salihah dan bapa yang salih.
Justeru, pertama, perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.
Related Posts with Thumbnails