Wednesday, March 9, 2011

Sapa dahulu sebelum bertanya tentang kerja

Oleh:Abdullah Zaik

Hubungan kita sesama pendakwah dalam sesebuah organisasi secara asasnya dibina di atas asas ukhuwah. Ukhuwah adalah ikatan perhubungan antara dua individu muslim.
Perkataan ukhuwah asalnya digunakan untuk saudara kandung atau saudara dari segi hubungan rahim. Kalimah ukhwah digunakan dalam konteks hubungan seagama untuk membayangkan betapa rapatnya hubungan antara seorang muslim dengan muslim yang lain seolah-olah hubungan adik-beradik.
Allah berfirman di dalam Surah Al-Hujurat ayat ke-10:
“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara”
Pernah berlaku dalam sejarah seorang saudara muslim menjadi waris kepada saudara Islam yang lain yang seakidah seperti kisah di antara Muhajirin dan Ansar.
Selain daripada memperdalamkan kefahaman tentang nilai tersebut dalam diri setiap individu dalam organisasi dakwah, mereka juga dihubungkan dengan hubungan sosial antara satu sama lain.
Untuk tujuan itu, dianjurkan aktiviti-aktiviti seperti rehlah, jaulah , ijtimak, keraian dan sebagainya bagi mengukuhkan hubungan persaudaraan atas asas agama dengan hubungan-hubungan lain yang berbentuk sosial.
Dengan itu, kita dapat saksikan hubungan akrab yang begitu intim antara ahli-ahli dalam organisasi dakwah yang sentiasa mekar dan berpanjangan. Namun, seperti nilai-nilai lain yang terdedah kepada ujian begitu juga nilai ukhuwah dan persaudaraan.
Sebenarnya ada dua paten dalam kepimpinan. Yang pertama, paten yang mementingkan hubungan sesama manusia dan paten kedua kepimpinan yang mementingkan amal dan aktiviti. Mungkin nilai ukhuwah boleh dilihat sentiasa terjaga dalam pendekatan seorang pemimpin yang berpatenkan menjaga hubungan sesama manusia.
Apabila mereka berhubung sentiasa disulami dengan kata-kata yang membasahkan hubungan, tetapi bagi pemimpin yang patennya mementingkan amal, sering kali terlupa akan hubungan manusia apabila berkomunikasi dan berhubung sesama ahli sama ada di peringkat atas ataupun lebih bawah. Biasanya ungkapannya akan langsung menjurus kepada pelaksanaan amal, arahan, masalah dalam kerja , prestasi dan sebagainya.
Saya pernah dalam pengalaman dakwah ini bertemu dengan seorang syeikh arab yang hidupnya seperti merantau di negara asing. Beliau menceritakan pada hari itu beliau dihubungi oleh kepimpinan organisasinya peringkat atasan dan terus mengeluarkan arahan begitu dan begini. Beliau menyuarakan rasa kesal kenapa pimpinannya itu yang gagal bertanya tentang status dirinya, keadaan keluarganya dan anak-anaknya. Ketuanya itu hanya tahu bercakap tentang arahan dan amal tetapi tidak langsung terfikir tentang apa perasaan yang sedang dihadapai oleh beliau dalam berdepan dengan cabaran hidup di perantauan yang tidak menentu.
Kisah yang saya sebutkan ini memberi pengajaran kepada saya bahawa seorang ketua atau seorang akh sepatutnya bertanya dahulu tentang khabar berita, keadaaan anak isteri saudaranya sebelum dia bercakap tentang perkara lain mengenai amal dan dakwah.Kita perlu mempertimbangkan untuk menghargai manusia dan nilai kemanusiaan dalam konteks berorganisasi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails