Thursday, July 9, 2009

UNTUNGKAH BER‘COUPLE’?



Saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa alasan yang sering diberikan oleh remaja yang bercinta teruna dan dara atau bercouple dalam usia muda. Saya tanyakan hal ini kepada remaja di kampung dan juga beberapa peserta program yang pernah saya sertai. Berbagai jawapan yang diberikan, namun secara kesimpulan saya dapati jawapan mereka terbahagi kepada tiga. Dan saya akan memberi respon bagi setiap jawapan yang dibangkitkan.


SOALAN 1 : Apa tujuan bercouple?


Jawapan 1 : Mahu tanda bahawa dia kekasih saya. Tak nak bagi orang lain dapat.


Respon : Jawapan sebegini biasanya digunakan oleh remaja kampus. Namun, bagi penulis ia adalah satu alasan yang paling popular untuk membolehkan sesebuah pasangan bercinta teruna dan dara.


Kita perlu sedar bahawa manusia biasa tidak mampu meramal masa depan. Adakah dengan bercouple atau mengikat tanda yang seseorang itu adalah kekasih kita, maka semuanya sudah terjamin?


Ini belum tentu terjamin lagi!


Orang bertunang bertahun-tahun pun masih ada kemungkinan berpisah. Orang berkahwin pun masih ada kemungkinan bercerai. Ini bererti kita tidak mampu meramal masa depan. Sekalipun kita tanda ke, kita ikat ke, kita tuning ke, jodoh tiada siapa yang tahu. Jadi, sepatutnya kita perlu banyak berdoa.


Lagi satu, jika benar mahu tanda. Jangan jumpa dengan pasangan saja. Jangan asyik berkepit dengan empunya diri sedangkan keluarganya tidak tahu status hubungan itu. Sepatutnya pasangan perlu berterus-terang dengan berjumpa orang tua masing-masing. Beritahu niat dan minta mereka memberikan restu. Itu yang sepatutnya.


Jadi…fikirkan wahai remaja.


Jawapan 2 : Mahu mengenali bakal pasangan dengan lebih dekat.


Respon : Jawapan ini adalah alasan lemah bagi pasangan yang ingin bercinta. Kerana apa? Sesungguhnya manusia tidak mampu mengenali manusia lain sedalam-dalamnya. Berkenalan atau taaruf adalah proses sepanjang hidup. Orang berumahtangga hampir 20 tahun masih lagi tidak mengenali pasangan dengan sepenuhnya. Inikan pula bagi couple yang berkenalan baru setahun dua.


Lagipun, manusia adalah makhluk beremosi. Manusia sentiasa berubah-ubah berdasarkan kondisi dan situasi. Ada manusia yang baik kemudian bertukar jahat. Ada manusia lembut akhirnya bertukar keras. Mengenali pasangan itu penting, tetapi sepatutnya proses mengenali ini bermula setelah anda duduk bersama sebagai suami isteri.


Sebelum berkahwin, kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, anda terkejut selepas berkahwin.


Ramai kawan saya yang terkejut selepas berkahwin. Apa yang mereka bualkan dan rancang sebelum kahwin, boleh dikatakan berubah sama sekali selepas bersama di bawah satu bumbung. Ini adalah realiti. Justeru, masa yang paling sesuai untuk mengenali pasangan bukanlah sebelum berkahwin tetapi selepas bersama di bawah satu bumbung dengan ikatan yang sah.


Wahai remaja…tidak perlu terburu-buru mengenali bakal pasangan terlalu intim.


Alasan 3 : Mahu memahami wanita dan membiasakan diri dengannya. Agar tidak kekok.


Respon : Jawapan ini adalah jawapan kurang matang. Bagi saya, penyesuaian sebelum berkahwin tidak perlu. Ini kerana penyesuaian antara lelaki dan wanita akan berlaku dengan cepat. Ini adalah tabiat manusia dan manusia akan mudah menyesuaikan diri dengan pasangannya. Selepas kahwin, proses itu akan berlaku dengan sendirinya. Insya Allah.


SOALAN 2 : Apakah keuntungan bercouple?


Jawapan 1 : Bersemangat untuk belajar. Sumber inspirasi.

Respon : Saya fikir memang jawapan ini ada benarnya. Tapi reality menunjukkan masih ramai yang gagal mengawal emosi apabil bercinta sehingga menyebabkan tugu inspirasi mereka tersungkur. Jika dibuat pantauan. Remaja bercouple lebih banyak mengalami pergaduhan dengan pasangannya. Terutamanya apabila musim exam. Masing-masing mudah stress dan tertekan, dan ini akan memberi kesan terhadap exam. Berdasarkan pengalaman peribadi saya, orang bercouple lebih banyak ‘konflik’ jiwa berbanding orang yang ‘Single’. Dan ini mengundang risiko dalam pengajian.


Memang ada pasangan yang saling memberi inspirasi. Namun, rata-rata pasangan yang bercinta mengalami banyak konflik. Konflik ini selalunya mengganggu fokus pada pengajian. Jadi, elakkan saja. Jangan mengambil risiko jika anda bukan seorang yang mampu mengawal gelora emosi.


Jadi…hati-hati dalam bercinta. Kelak masa depan kita juga yang merana.


Jawapan 2 : Cepat matang dan bijak dalam pergaulan.


Respon : Betulkah akan cepat matang? Mungkin betul. Tapi…untuk matang masih ada banyak cara lagi. Berdasarkan pengalaman peribadi saya. Orang bercouple kebiasaannya adalah rendah maruahnya. Mudah ditewaskan dengan emosi dan terburu-buru dalam mengikut perasaan. Orang sebegini lambat matang. Orang yang cepat matang ialah yang memberi penekanan kepada harapan keluarga, kerjaya dan prospek masa depan, serta tahu merancang hidup. Di samping tidak mencuaikan emosi dan perasaan kasih sayang.


Justeru, bersosial memang mampu mematangkan seseorang. Lebih luas pergaulan, lebih banyak pengalaman. Lebih banyak kenalan, lebih cepat memahami karenah orang. Justeru, berkomunikasi dan berinteraksi perlu fleksibel. Bukan sekadar berbicara dengan kekasih malah perlu berbicara dengan orang yang lebih tua.


Apa yang sering berlaku ialah pasangan yang bercouple tidak suka bergaul dengan orang lain. Orang bercouple tidak mahu orang lain busy body tentang urusan peribadinya. Malah, kebanyakan remaja yang ada pasangan sering bersendirian melayan handphone dan sms. Sehinggakan kerap berlaku pergaduhan mulut apabila ada kawan yang lain menegur atau seolah-olah mengganggu privacy mereka.


Realitinya, remaja yang bercinta ini lebih cepat merajuk dan lebih cepat melatah. Kadang-kadang orang bercinta ini sensitifnya melampau-lampau sehingga menyusahkan mereka untuk bersosial. Ini adalah suatu perkara yang memang berlaku dan selalu saya temui. Akibatnya apa? Akhirnya remaja yang bercinta ini sukar ditegur, sukar dinasihati, sukar didekati dan menjadi lebih teruk perangainya. Bukan makin matang, malah makin tidak cerdik.


Jadi…hati-hati jika anda mahu bercinta. Jangan tersalah memberi alasan. Kononnya mahu cepat matang, akhirnya jadi lebih lembab.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails