Monday, March 15, 2010

Bukan cinta biasa



Dipegang jubah suaminya. Matanya yang jernih merenung sayu.
“Apakah ini kerana Allah?” tanya hampir berbisik.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.
Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi. Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah, aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.
Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya. Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.
Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa…
Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan, “kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar. Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh suaminya kerana Allah. Bila kerana Allah, tenanglah hati Siti Hajar… Tuhan pasti tidak akan mengecewakannya. Suaminya tidak akan menganiayanya.
Bertemu kerana Allah, berpisah pun kerana Allah. Itulah tradisi dalam cinta para solihin dan muqarrabin. Dan iktibar buat kita, untuk mengekalkan cinta dalam rumah tangga inilah juga teras dan asasnya. Jangan ada “kerana” yang lain. Jika ada yang lain, pasti cinta itu tergugat jua walaupun bagaimana teguh sekali pun janji dan peneguhan kata yang pernah dimeterai. Untuk mengekalkan cinta, ini sahaja prinsipnya – berbuatlah apa sahaja kerana Allah. Lurus, tulus dan telus tanpa belok dan bengkok.
Sekalipun terpisah, namun cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar tidak pernah luntur. justeru kedua-dua berpegang kepada asas cinta yang kekal… cintakan Allah. Dan bila mereka bertemu kembali, beberapa tahun kemudiannya, cinta itu teruji lagi. Kali ini Nabi Ibrahim diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tekad, Ismail mesti dikorbankan. Tetapi bagaimana Siti Hajar?
Siti Hajar teruji lagi. Nilai anak bagi seorang ibu, kekadang melebihi nilai suami kepada seorang isteri. Ikatan hati antara ibu dan anak jauh lebih teguh dan kukuh daripada ikatan suami dan isteri… begitu kekadang pakar-pakar psikologi mengungkapkan. Namun itu sedikit pun tidak menjejaskan jiwa Siti Hajar, sekali lagi “jika itu kehendak Allah” dia pasrah. Allah tidak akan mengecewakannya. Siti Hajar rela “kehilangan” anak dan suami berkali-kali. Seperti air zam-zam yang menyuburkan lembah Makkah yang gersang maka begitulah iman yang memperkasa jiwa Siti Hajar. Sekali lagi dia rela dan tega.
Ah, agungnya sejarah itu. Namun di mana asas kekekalan cinta itu masa kini? Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta. Tetapi sebaik musim bulan madu berlalu, cinta semakin hari semakin terhakis. Dan akhirnya usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun sudah tidak mampu lagi. Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan dengan tingkah laku suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga. Akhirnya, perceraian pun tidak dapat dielakkan lagi.
Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin ketara segala kelemahan dan kesalahan.
Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka, keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan, tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…
Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana? Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu kerja lagi, gerutu hati isteri.
Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!
Jiwa yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh apatah lagi masalah yang memang besar. Bila di hati tidak ada lagi “kerana Allah”, rumah tangga akan semakin goyah. Di dalam hati sudah timbul bibit-bibit ingin berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya talak bersendikan syarak atau berpisah secara sepi, dengan putusnya ikatan cinta tanpa kemesraan dan keharmonian hati.
Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah. Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar sekah asalkan tak patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.
Mereka yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?). Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia, sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan sahaja…
Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar degan perkahwinan yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bercerai!
Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama… tetapi oleh orang yang sabar.
Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita, belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri kehendaki.
Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah, ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk diselesaikan. Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang dapat diselesaikan dan ada yang tidak.
Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.” Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikanMengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu dan bergantung kepada-Nya.
Oh, rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan kita untuk kita saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah masing-masing. Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui kita. Inilah yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumah tangga Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka itu bukan cinta biasa!
AKU BUKAN SUMAYYAHMU!

Suami ku bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangannya
Mujur cinta dan perjuangan kita
Bukan itu lambangnyaMulut ku kaku untuk merayu
Hati ku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu
Kerana kini kau mujahid
Yang rindu memburu syahid

Maaf kiranya tutur dan tingkah


Senyum dan seri wajah


Pudar dan hambar di mata mu


Pada ku yang baru belajar


Menjadi seorang mujahidah


Aku kini hanya mendoakan


Agar kau menjadi Yassir


Walau kiranya… bukan aku Sumayyahmu


Dalam tangis ku cuba senyum ketika kau bermusafir


Sepertinya Siti Hajar


Sewaktu ditinggalkan Ibrahim


Biar selalu kita berpisah


Selalu derita kerap susah


Kerana syurga menagih ujian berat


Sedangkan neraka dipagari nikmat!






notes :
Menarik artikel ini untuk dikongsi bersama ,untuk sama2 fikirkan ....sayu ak melihat akan kadar penceraian yang meningkat akhir2 ini ....yg mana institusi kekeluargaan adalah faktor utama terjadinya masalah sosial yg makin terjadi dlm masyarakat kita skrg,...cintalah manusia kerana Allah inilah hakikat cinta sejati..sama2 kita muhasabah diri kita...

Mungkin dalam masa beberapa minggu ini blog ini akan senyap buat seketika ,dek kerana kesibukan memandangkan musim test makin hampir & juga kerana komitmen lain.tetapi sekiranya ada artikel yang menarik untuk dikongsi insyaAllah sy tetap masukkan....

salam kasih sayang sejagat buat pembaca budiman


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails