Penghalang Dakwah Adalah Sikap Kita Sendiri.
Surat ini ditulis untuk mengetuk sanubari pendakwah dalam kalangan masyarakat kita agar lebih cakna dengan isu melibatkan kaum bukan Islam.
Hari ini, (19 Julai 2009) selepas bersolat Maghrib di Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris II), saya telah melihat seorang wanita India datang ke masjid sambil sebelah tangan mendukung anak kecil. Sebelah tangan yang lain pula mengepit botol susu. Wajah wanita India itu serius, seolah-olah mengalami masalah. Sampai di kawasan masjid, dia memberitahu hasratnya untuk bertemu dengan 'ustaz' di masjid tersebut pada seorang pengawal keselamatan (kelihatannya bukan bertugas di masjid tersebut). Pada fikiran saya mungkin dia ingin bertemu dengan Imam atau Bilal di masjid berkenaan.
Saya tersentak apabila pengawal tadi berkata dengan nada serius tanpa memandang wajah wanita India itu bahawa ustaz tiada! Saya terkejut. Kenapa perlu bercakap sekasar itu di hadapan individu bukan Islam serta di kawasan masjid?
Saya terus bertanya kepada pengawal berkenaan kenapa bercakap sedemikian rupa, beliau segera menjelaskan, “Untuk apa dia ingin berjumpa Imam, kalau hendak masuk Islam boleh lah”. Bagaimana seseorang itu boleh menganut Islam jika akhlak sebegitu yang kita tonjolkan? Saya kecewa apabila pengawal keselamatan tersebut menghalau wanita itu dan menyuruhnya berjumpa ustaz ‘India’ di Masjid India Ipoh. Saya berusaha mencari wanita India berkenaan tetapi hampa kerana gagal menjumpainya.
Saya segera menghubungi Haji Zamanhuri (Pegawai Masjid) untuk mengadu kepadanya. Beliau menyatakan telah banyak kali pihak masjid membantu golongan bukan Islam yang berada dalam kesusahan kerana itu juga adalah dakwah. Beliau juga tidak bersetuju degan sikap umat Islam sepertimana yang ditonjolkan oleh lelaki berkenaan.
Pihak gereja senantiasa memberi khidmat masyarakat dalam usaha menyebar agama Kristian. Mengapa pula kita menutup dakwah dengan sikap prejudis kita terhadap kaum bukan Islam? Mengapa menganggap kehadiran mereka ke kawasan masjid adalah untuk meminta sedekah semata-mata? Mungkin wanita itu didera atau dipukul oleh suami yang mabuk. Mungkin wanita itu pernah ditolong oleh kaum Islam serta tertarik dengan kebaikan Islam, lantas ingin mengadu ke masjid.
Rasulullah SAW dahulu juga berhadapan dengan kaum Badwi yang kasar, datang untuk meminta nasihat dan bantuan Nabi. Baginda membantu mereka serta berdakwah dengan lemah lembut. Jika begini sikap kita, mana mungkin kita boleh menjadi penyebar risalah agama?
Muhammad Nuruddin Bashah
p/s:
dakwah yang paling baik adalah akhlak kita sendiri
0 comments:
Post a Comment